WAKTU SOLAT :

NORIIZZ CONSULTANT'S

Rabu, 23 Jun 2010

TIP JIMAT CERMAT.

“setiap hari kita di hidangkan pelbagai masalah keduniaan
setiap tahun harga barang akan naik tapi gaji tak naik banyak mana pun...
fenomena ini akan berlaku sepanjang kehidupan kita di dunia materialistik ini...

mampukah kita bertahan...atau mampukah kita menikmati hidup yg lebih bermakna..atau mampu kah kita menabung jika wang yang ada hanya sekadar cukup-cukup saja....?”


Salah satu cara pengurusan bijak dan kreatif dalam kewangan keluarga ialah dengan berjimat cermat. Sesungguhnya orang yang suka membazir itu adalah saudara syaitan. Berikut adalah beberapa tip untuk berjimat cermat dalam urusan kewangan keluarga untuk dijadikan panduan kita bersama:



Tip 1: Sediakan bajet kewangan keluarga

Ukurlah baju di badan sendiri. Elakkan berbelanja di luar kemampuan. Melalui bajet kewangan, perbelanjaan dapat dikawal. Utamakan yang utama bagi keperluan keluarga.


Tip 2: Merancang kewangan untuk masa depan

Sediakan payung sebelum hujan. Wujudkan simpanan tetap atau tabungan untuk masa depan atau kecemasan. Boleh juga membuat simpanan dalam skim takaful yang memberikan manfaat perlindungan yang tidak kita dapati dengan simpanan biasa. Bagi mereka yang berminat dengan amanah saham, pilihlah yang terbaik untuk membuat pelaburan.


Tip 3: Masak sendiri

Kurangkan makan di kedai. Ini lebih jimat, terutama bagi keluarga yang ramai. Air tangan ibu atau isteri akan mengikat kasih sayang antara ahli keluarga serta lebih terjaga kebersihannya. Secara tidak langsung keluarga yang sihat akan mengurangkan kos perubatan yang tidak kurang mahalnya.


Tip 4: Bawa bekal ke pejabat atau sekolah

Jangan malu untuk membawa bekal ke pejabat. Malahan anak-anak juga perlu diajar membawa bekal ke sekolah. Dengan cara ini kita dapat berjimat paling kurang RM3 sehari. Duit yang dijimatkan ini boleh dijadikan simpanan untuk masa hadapan dan kecemasan.


Tip 5: Elakkan memandu kenderaan sendiri

Walaupun harga minyak telah turun namun amalan berjimat akan sentiasa menguntungkan kita. Gunakan kenderaan awam seperti bas, komuter atau LRT sebagai alternatif. Atau boleh juga berkongsi kereta dengan rakan sepejabat.


Tip 6: Jimatkan penggunaan air, elektrik dan gas

Keluarga perlu dididik untuk menghargai nikmat ini dan elakkan dari pembaziran. Tutup peralatan elektrik di ruang yang tidak digunakan. Berpada-pada menggunakan pendingin udara, begitu juga air di bilik mandi ketika mandi atau mencuci.


Tip 7: Tanam sendiri sayur-sayuran

Serai, kunyit, daun pandan dan daun kari mudah untuk ditanam. Bagi yang tidak mempunyai tanah dan ruang masih boleh menanamnya di dalam pasu. Begitu juga sayuran seperti sawi, kangkung, cili malahan pisang juga tidak susah untuk ditanam. Mengamalkan cara ini akan dapat menjimatkan perbelanjaan keluarga dari perlu membeli sayur-sayuran yang telah ditanam seterusnya dapat mengisi masa lapang bersama keluarga.


Tip 8: Beli secara pukal

Ini jauh lebih murah berbanding jika kita membeli secara sedikit demi sedikit. Begitu juga dengan saiznya. Beli barang-barang sama ada untuk stok seminggu atau sebulan. Ini akan menjimatkan wang dan masa.


Tip 9: Lakukan perbandingan harga dahulu

Amalan ini adalah penting kerana kadang kala terdapat perbezaan harga di antara kedai, lain tempat lain harga walaupun barang yang dijual adalah sama dari segi jenis dan kualitinya. Amalan ini membantu juga untuk berjimat.


Tip 10: Kurangkan pembelian barangan berjenama

Dalam situasi ekonomi yang merosot kini, kita tidak perlu terlalu berkira tentang jenama barangan yang ingin dibeli. Jika barangan tersebut mempunyai kualiti yang baik setanding dengan barangan berjenama, kita sebagai pengguna harus bijak memilihnya.


Kesimpulan

Hidup dengan duit yang sedikit tidak bermakna kehidupan yang serba kekurangan. Ia lebih kepada hidup dengan lebih bermakna dan bersyukur, dan bukan hidup untuk orang lain. Bercermat dalam semua aspek kehidupan adalah asas membina kekayaan. Jika anda berimpian untuk mendapat kebebasan kewangan pada suatu hari nanti, tidak kira tahap atau status pendapatan anda, anda perlu jadikan.....


‘pengurusan kewangan yang berhemah sebagai cara hidup’.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan