WAKTU SOLAT :

NORIIZZ CONSULTANT'S

Khamis, 24 Jun 2010

TIP MENGURUS PENGGUNAAN KAD KREDIT

  1. Jangan gunakan kad kredit sekiranya anda tidak mampu untuk membayar balik hutang.
  2. Bayar sebelum tarikh akhir pembayaran untuk mengelak daripada dikenakan caj bayaran lewat. Pastikan pengeluar kad kredit anda mempunyai alamat terkini bagi memastikan anda menerima penyata akaun tepat pada masanya.
  3. Jelaskan pembayaran anda sepenuhnya untuk mengelak daripada dikenakan faedah.
  4. Hanya keluarkan wang tunai dengan kad kredit anda sebagai langkah penyelesaian terakhir.
  5. Had bilangan kad kredit berdasarkan keperluan dan kemampuan anda.
  6. Gunakan kad debit berbanding kad kredit untuk membayar pembelian anda.

PETUA TAMBAHAN YANG BOLEH MEMBANTU

  • Ingat, kad kredit bukan wang percuma.
  • Hanya simpan satu atau dua kad, jangan sehingga lapan atau Sembilan.
  • Cajkan hanya untuk barang yang anda mampu bayar – elakkan berberlanja melebihi pendapatan anda.
  • Carilah kad yang menawarkan kos, caj tahunan dan yuran perkhidmatan yang paling rendah (kalau boleh, yang tiada yuran sama sekali).
  • Bayar kesemua baki setiap bulan; tetapi jika ini juga sukar, bayar amaun lebih daripada amaun minima bulanan anda.
  • Masih bermasalah? Tinggalkan kad anda di rumah atau bekukannnya di dalam peti ais!

ISU-ISU SEMASA PERANCANGAN ISLAM

Amalan Perancangan Semasa

Amalan-amalan perancangan bandar dan desa masa kini kurang menekankan aspek persekitaran serta tamadun kehidupan yang berkualiti dan berkekalan. Konsep-konsep perancangan pula tidak memaparkan dengan jelas (explicit) nilai-nilai murni yang perlu menjadi asas pertimbangan dalam perancangan dan pembangunan. Hasil daripada perancangan dan pembangunan yang tidak berlandaskan nilai-nilai murni kerohanian ini telah menimbulkan tanda-tanda kepincangan masyarakat dan juga kemusnahan serta kerosakan kepada alam sekitar.

PENDAHULUAN BANDAR ISLAM.



Perbincangan mengenai bandar islam merupakan suatu perbicangan yang jarang dilakukan.Ini adalah kerana matlamat dan halatuju mengenai bandar islam yang syumul belum lagi dapat dipamerkan dalam kehidupan masakini.

Matlamat dan halatuju bandar islam adalah untuk membangunkan kehidupan sejagat berteraskan kehendak dan syariat Allah.

Oleh itu, matlamat Perancangan dan Pembangunan Sejagat ialah untuk:

“Mewujudkan Keseimbangan Di Antara Pembangunan Fizikal Dengan Pembangunan Insan Dari Segi Spiritual Dan Nilai-Nilai Murni Sejagat Untuk Kemajuan Negara Yang Berterusan”

Rabu, 23 Jun 2010

PENGGUNAAN KAD KREDIT

Kad kredit, adalah nama moden untuk buku hutang. Betul tak? Kita sering menggunakan kad kredit untuk berhutang, dan membayar kembali hutang tersebut dalam satu tempoh waktu tertentu. Maksudnya, kad kredit dan buku hutang ada persamaan. Kan? Cuma mungkin nama kad kredit, nampak lebih hebat berbanding kalau dinamakan kad hutang.
Seringkali kita dapat dengar rungutan tentang masalah hutang akibat penggunaan kad kredit.
YA BETUL!!
Kad kredit boleh menyebabkan seseorang itu menjadi hamba hutang jika tidak diuruskan dengan betul.
Gunakanlah kad kredit dengan cara yang betul. Pasti kad kredit akan menjadi pembantu anda, bukannya perosak anda

Kad kredit ialah instrumen pembayaran yang membolehkan anda membayar untuk barang danperkhidmatan yang dibeli berbanding menggunakan wang.Berikut adalah isu-isu yang perlu diberikan pertimbangan apabila memohon kad kredit :

  • Anda perlu berdisiplin ketika menggunakan kad kredit kerana anda seumpama memperolehi wang tunai. Sekiranya anda terlebih berbelanja, anda akan menanggung beban hutang yang banyak. Ingat, caj kewangan atas hutang kad kredit adalah tinggi dan boleh mencecah setinggi 18% setahun.

  • Pastikan anda mampu membayar bayaran bulanan. Secara amnya, bayaran balik bulanan anda tidak boleh melebihi satu pertiga daripada pendapatan kadar isi rumah bulanan anda.

FAKTA KAD KREDIT

Mari kita betul-betul memahami bagaimana kad plastik “ajaib” ini berfungsi. Kita diberi talian kredit, dengan had maksima yang boleh dicaj kepada kad – “had kredit”. Setiap kali kad ini dicaj melalui sebarang perbelanjaan (transaksi), kredit kita berkurangan. Penyata bulanan yang diterima memberi kita pilihan, samada untuk bayar baki sepenuhnya, atau hanya bayaran minima bulanan (tidak digalakkan). Apabila kita membayar bayaran bulanan kepada bank yang mengeluarkan kad, had kredit maksima dikembalikan. Walaubagaimanapun, pemegang-pemegang kad kredit seringkali hanya bayar jumlah faedah dan bayaran minima baki pokok yang terhutang, dan tidak akan bayar balik baki yang sepenuhnya.

PERANGKAP BELANJA
Bagaimana agaknya seseorang itu boleh “terperangkap”? Bagi orang-orang muda, penyakit berhutang ini mungkin bermula dengan cara yang tidak diduga. Di kolej pengajian tinggi, sebahagian besar dari mereka diberi kad plastik tersendiri oleh ibubapa sebagai pemegang kad tambahan. Amboi! Banyak pula barang-barang yang perlu dibeli (contohnya, kasut serta pakaian jenama, i-Pod, beg dan barang fesyen yang “cun” dan paling terkini) dan pesta hiburan atau aktiviti sosial yang penting untuk dihadiri! Bukankah amat leceh dan menyusahkan untuk meminta ibubapa tersayang setiap kali duit tambahan diperlukan (bukankah membazir wang untuk bayar kos telefon lagi?). Jadi, cara yang termudah dan tercepat – Caj sajalah!

Mungkinkah bidang pelajar menceburi dalam dunia berhutang ini sangat konfiden dan tiada ragu-ragu bahawa mereka akan bergaji tinggi tidak lama kelak – tentu hutang itu luput dalam jangkamasa yang singkat – hanya beberapa tahun selepas graduan. Malangnya, ramai graduan menghadapi bahawa realiti masa hadapan mereka jauh berbeza dari apa yang telah dijangkakan. Sekarang mereka sudah selesa dengan bilangan baki bulanan tersebut dan sedar bahawa mereka terperangkap: hutang yang terus meninggi tidak dapat ditandingi oleh kenaikan pendapatan mereka yang ala kadar.

Bukan orang muda sahaja yang dapati diri mereka terperangkap di dalam situasi begini. Malah, orang-orang dewasa yang berfikiran cukup matang juga tergoda dengan kemudahan kredit ini. Pengiklan memaparkan barang-barang baru dan canggih yang kononnya “ganjaran” bagi kita! Ya, amat sukar bagi kita menolak kemewahan hidup dengan barang-barang rekreasi, pakaian dan perkakas-perkakas termoden, yang sering ditawarkan. Dalam situasi lain pula, orang yang tiada pekerjaan juga boleh terbabas dalam hutang kredit kad – simpanan wang pun tiada, kredit kad pula dijadikan kemudahan untuk menyara keperluan seharian. Akan tetapi, apabila mereka mula bekerja semula, mereka sedari bahawa kad kredit mereka sudah mencapai had maksima; pembayaran balik pun menjadi satu bebanan yang besar.

Walaupun kita tidak mahu berfikiran negatif, kita tidak akan mencegah masalah kewangan jika kita selalu mengendahkan realiti sebenar. Kemerosotan ekonomi membuatkan ramai orang terdesak dan terjatuh dalam malapetaka kewangan. Hanya mereka yang telah membuat persediaan untuk menghadapi situasi yang kurang baik sebegini akan dapat bertahan di dalam suasana yang sukar. Apakah harus dibuat untuk mengelakkan diri kita daripada menjadi sebahagian dari angka statistik yang menyedihkan?

CARA BAYARAN BALIK HUTANG KAD KREDIT
statistik yang menyedihkan Jika anda hanya membayar jumlah faedah kad kredit setiap bulan dan ingin memberhentikan hutang sebegini,
  • Langkah pertama adalah untuk menganalisa pendapatan dan perbelanjaan bulanan anda. Jumlahkan perbelanjaan anda dan tolakkannya dari pendapata. Inilah baki pendapatan yang boleh anda gunakan setiap bulan.

  • Langkah kedua : Hentikan transaksi melalui caj kredit. Bekukan penggunaan kredit kad anda (ya, betul – letakkan semua kad-kad kredit ke dalam kotak ais krim, isikan dengan air dan simpankan kotak itu dalam pembeku di peti ais!). Bayarlah barang-barang yang perlu dibeli secara tunai. Kemudian senaraikan hutang kad-kad kredit yang masih ada. Kenalpasti kad yang mengenakan caj kewangan yang paling tinggi. Mungkin anda berpeluang untuk pindahkan baki dari kad berfaedah tinggi ke kad yang menawarkan kos yang lebih rendah (tentukan anda membaca semua info yang diberi supaya tidak dikenakan kos yang tersorok pula).

  • Seterusnya, susunkan kad-kad anda mengikut kadar caj kewangan, gunakan baki pendapatan untuk membayar balik kad yang paling mahal (kos tertinggi) tersebut. Setelah hutang kad termahal selesai, tutupkan akaun tersebut dan musnahkan kad itu. Kemudian ubahkan fokus anda ke kad yang seterusnya; teruskan langkah-langkah di atas sehingga kesemua hutang anda sudah habis. Sebaik sahaja hutang kad kredit anda luput, hanya simpan beberapa kad sahaja – hanya dua atau tiga untuk penggunaan yang boleh dikawal.

KESILAPAN DALAM MENGURUS WANG.



JIKA anda bercadang mengukuhkan kedudukan kewangan, anda mesti mengenal pasti terlebih dulu kesilapan pengurusan kewangan yang lazim dilakukan supaya anda dapat belajar daripadanya.

1. GAGAL MERANCANG
Alasan yang selalu diberikan oleh mereka yang tidak merancang kewangan ialah "Saya sibuk dengan kerja dan keluarga hingga tidak sempat untuk menguruskan kewangan saya".
Sebenarnya, walaupun anda hanya tergolong dalam golongan berpendapatan sederhana, tabiat 'merancang kewangan' akan membolehkan anda menjadi seorang berjaya mengumpul kekayaan di kemudian hari kelak.
2. BERBELANJA MELEBIHI KEMAMPUAN
Dewasa ini, kita sering berbelanja melebihi kemampuan akibat desakan rakan dan juga iklan di sekeliling kita. Ramai yang sanggup menghabiskan wang semata-mata untuk mengikut arus peredaran masa dan tidak mahu dianggap ketinggalan zaman.
Akibatnya, ramai yang hanya mempunyai baki yang amat sedikit dalam akaun bank di hujung bulan selepas ditolak bayaran pelbagai pinjaman, kad kredit, bil dan sebagainya.
3. BERBELANJA MENGGUNAKAN KAD KREDIT
Tabiat beli dulu dan bayar kemudian adalah perkara biasa dewasa ini. Hampir setiap orang mempunyai sekurang-kurangnya satu kad kredit. Malah, ramai yang memiliki lebih daripada satu kad.
Dengan bayaran minimum setiap bulan, ramai yang akan berpotensi untuk terus berbelanja. Mereka tersalah anggap mengenai bayaran minimum terbabit, dan tidak menyedari bahawa lama kelamaan ia akan menjadi hutang yang menggunung di kemudian hari.Jika tersilap langkah, tidak mustahil anda juga boleh menjadi muflis akibat tabiat sedemikian.Justeru, pastikan anda menggunakan kad kredit secara berhemat.
4. LEWAT MENABUNG UNTUK HARI TUA
Untuk memulakan persaraan, kita mesti memastikan yang kita mempunyai wang mencukupi bagi menampung gaya hidup yang diinginkan selepas bersara. Bagaimanapun, masih ramai terutama mereka yang sudah hampir bersara, masih bergelut untuk mencapai jumlah simpanan diperlukan.
Sepatutnya, setiap kali gaji naik, simpanan kita turut naik. Sebaliknya, apa yang berlaku adalah setiap kali gaji naik, perbelanjaan pula yang bertambah.
5. MELABUR DALAM PRODUK YANG TIDAK BERSESUAIAN
Terdapat pelbagai produk pelaburan di pasaran. Untuk memastikan kita melabur dalam produk pelaburan yang menepati profil risiko dan ganjaran yang diinginkan, kita memerlukan ilmu pengetahuan mengenai selok-belok pelaburan. Justeru, pastikan anda meneliti ciri sesuatu produk pelaburan berkenaan dan mengkaji kumpulan pengurusannya sebelum melabur.
6. TIDAK MENABUNG UNTUK WAKTU KECEMASAN
Sesetengah orang beranggapan yang membeli insurans adalah perbuatan membazir wang. Tetapi tahukah anda bahawa tanpa insurans, kedudukan kewangan kita akan tergugat terutama jika kita hilang pendapatan/pekerjaan.
Tanpa insurans atau wang simpanan, seluruh keluarga akan merana dan ketika itu juga agak terlambat untuk memikirkan bagaimana ingin mencari sumber pendapatan yang lain dengan kadar segera.
7. TERLAMPAU MEMIKIRKAN PASAL WANG
Dalam usaha memupuk tabiat merancang kewangan, janganlah pula terlampau taksub mengumpul kekayaan sehingga lupa akan perkara lain yang amat bermakna dalam hidup kita seperti keluarga, kesihatan, kepuasan berkarier serta rakan dan taulan.
Akhir sekali, kita perlu sentiasa mengingatkan diri mengenai kepentingan merancang kewangan. Jika kita tidak bersungguh-sungguh dalam membina kekayaan dan menguruskan kewangan, besar kemungkinan kekayaan tidak akan berpihak kepada kita.

LANGKAH-LANGKAH PENGURUSAN WANG.


Merancang perbelanjaan adalah langkah pengurusan kewangan yang bijak tidak kira sama ada gaji anda besar ataupun kecil. Di antara kesilapan yang sering dilakukan berkaitan duit ialah terlalu banyak hutang, lambat membayar bil dan tidak menyimpan wang untuk kegunaan masa depan. Anda boleh mengelak daripada melakukan kesilapan yang sama dengan mengawasi tabiat berbelanja anda.

Urus wang anda dengan bijak melalui langkah berikut:


LANGKAH 1 – MENETAPKAN MATLAMAT KEWANGAN ANDA


Matlamat kewangan anda seharusnya menggambarkan perkara yang anda ingin kecapi dengan wang anda dalam jangka masa tertentu. Penetapan matlamat ini akan membantu anda memahami nilai sebenar wang dan menggalakkan anda untuk berbelanja dengan lebih bijak. Tetapkan jangka masa untuk merancang dan melaksanakan setiap matlamat anda, sama ada matlamat itu berjangka masa pendek, sederhana atau panjang.


Adakah anda merancang untuk…


  • Membeli rumah?
  • Membeli kereta?
  • Melancong?
  • Memulakan keluarga?
  • Menabung untuk pendidikan anak anda?
  • Menyediakan perbelanjaan perubatan?
  • Menyimpan wang untuk digunakan setelah bersara?





Dibawah adalah contoh menetapkan matlamat kewangan anda…..




LANGKAH 2 – MENJEJAKI KE MANA PERGINYA WANG ANDA

Selepas anda menentukan matlamat anda, mulakan dengan membuat perancangan untuk berbelanja dengan lebih baik agar matlamat anda mudah dicapai. Ingat bahawa matlamat anda buat masa yang terdekat ini bukanlah untuk mengurangkan perbelanjaan tetapi mengenal pasti tabiat berbelanja anda. Melalui pemerhatian ini, anda dapat mengetahui:


  • Ke mana dan bagaimana anda membelanjakan wang anda?
  • Berapa banyak hutang anda setiap bulan?
  • Berapa baki wang anda yang masih tinggal di penghujung bulan?






LANGKAH 3 – MENILAI TABIAT BERBELANJA ANDA

Jika wang anda tidak berbaki pada penghujung setiap bulan, sudah tiba masanya anda menilai tabiat berbelanja anda. Teliti semula semua perbelanjaan anda dan tentukan sama ada apa yang telah anda beli ialah barangan yang anda benar-benar perlukan atau hanyalah memenuhi kemahuan anda. Perhatikan sama ada:

  • Anda menggunakan simpanan untuk membayar bil semasa.
  • Anda memohon pinjaman baru untuk melangsaikan hutang pinjaman lama.
  • Hutang anda lebih besar daripada pendapatan.
  • Anda membeli sesuatu tanpa memikirkan sama ada anda mampu atau tidak.



LANGKAH 4 – MENULIS RANCANGAN PERBELANJAAN ANDA

Pelan perbelanjaan membantu anda merancang kewangan. Anda boleh mengesan ke mana duit anda dibelanjakan seterusnya mengelakkan kebanyakan perbelanjaan tersebut dan mula merancang simpanan anda. Mulakan pelan perbelanjaan anda dengan panduan mudah berikut:


  • Tentukan jumlah pendapatan anda.
  • Tambah jumlah perbelanjaan termasuklah bil bulanan, bayaran balik pinjaman, sewa, perbelanjaan seharian dan lain-lain.
  • Ketepikan sejumlah wang untuk kecemasan dan perbelanjaan bermusim (seperti yuran sekolah, musim perayaan, cukai jalan, pembaharuan insurans dan lain-lain)



Sekiranya anda tidak mempunyai lebihan wang tunai untuk disimpan, anda mungkin perlu menyemak semula tabiat berbelanja anda dan mengurangkan perbelanjaan yang tidak diperlukan.

PETUA BEBAS HUTANG.




Hari ini saya akan menolong anda untuk bebas dari hutang! saya buatkan satu sistem yang boleh anda ikut. Biasanya sistem yang mudah adalah yang terbaik. Dan saya rasa ianya termasuk cara melenyapkan hutang.

Anda perlu kuatkan semangat untuk mengikuti 10 langkah berikut.. dan matlamat anda untuk bebas daripada hutang pasti akan tercapai.


Tip 1 :

PERIKSA rekod perbelanjaan untuk tempoh 12 bulan.
Setahun adalah jangka masa yang tepat untuk melihat apa yang berlaku. Jadi lihat semua perbelanjaan, penyata bank, rekod buku cek, penyata kad kredit atau apa sahaja rekod yang anda ada.

Dan untuk perbelanjaan yang menggunakan wang tunai, bawa buku nota untuk beberapa minggu dan tulis semua perbelanjaan anda, walaupun untuk membeli goreng pisang makcik. Akhirnya, anda akan dapati betapa sedikit akan menjadi bukit.


Tip 2 :

KIRAKAN jumlah perbelanjaan anda dalam sebulan, dengan mencampurkan semua bil yang perlu anda bayar dalam sebulan.


Tip 3 :

TULISKAN senarai hutang yang anda tanggung. Jangan lupa masukkan sekali ansuran rumah. Telefon bank jika anda tidak pasti berapa hutang yang anda ada.(Pastikan ada selalu kemaskinikan rekod senarai hutang ini)


Tip 4 :

BUAT SENARAI pembayaran minima yang perlu anda lakukan setiap bulan. Katakan anda perlu membayar RM2000 setiap bulan.


Tip 5 :

TENGOK BAKI yang perlu anda bayar, dengan anggapan bahawa anda membayar setiap bulan tanpa ada yang tertunggak.


Tip 6 :

SENARAIKAN hutang anda supaya hutang yang sedikit diatas sekali, dan yang banyak terletak dibawah. Jangan lupa senaraikan semua hutang anda. Contohnya:


Tip 7 :

Sekarang anda perlu 'MENYERANG' untuk membayar hutang yang sedikit dahulu. Buat keutamaan untuk habiskan hutang yang sedikit dahulu (tv?) dan akhir sekali hutang yang agak besar, contohnya kereta atau rumah.


Tip 8 :

Pada langkah Nombor 4, anda telah kirakan jumlah minima hutang yang perlu anda bayar setiap bulan iaitu RM2000. Sematkan di minda anda untuk tambahkan sebanyak 10% daripada jumlah tersebut, iaitu RM200!


Tip 9 :

Untuk mempunyai tambahan RM200 untuk membayar hutang, kurangkan RM200 daripada perbelanjaan, dan simpan untuk membayar hutang.

Cuba fikirkan semua cara untuk mengumpulkan RM200 ini. Anda perlu berbincang dengan keluarga anda apa yang perlu dan tidak perlu dibeli. Contohnya jika anda selalu makan diluar, cuba kurangkan. Jika anda merokok, cuba berhenti. Jika anda berusaha, pastinya anda temui jalan untuk jimatkan paling kurang RM200 sebulan.


Tip 10 :


Gunakan wang tambahan RM200 ini untuk membayar hutang No.1 anda yang kecil dahulu. Jika anda membayar RM100 sebelum ini, sekarang anda bayar RM300 (RM100+RM200). Apabila habis hutang pertama, gunakan RM300 untuk tambahkan bayaran kepada hutang kedua. Jika sebelum ini anda membayar RM200 untuk hutang kedua, anda bayar RM500 (RM200+RM300) selepas hutang pertama habis. Ianya akan memberikan impak maksima untuk melangsaikan
hutang anda dengan cepat. Teruskan penambahan sehingga ke senarai yang terakhir.

Dengan cara ini anda akan bebas dari hutang dalam masa beberapa tahun. Kelebihan daripada sistem ini bermula hanya daripada RM200 yang anda jimatkan, dan ianya bertambah sebaik sahaja hutang pertama anda habis.

Gunakan teknik ini dan anda pasti terkejut dengan hasilnya dalam masa beberapa tahun akan datang. Dan jangan biarkan anak-anak anda sengsara kerana terpaksa menanggung semua beban hutang anda nanti
.